Monday, November 22, 2010

KELUHAN PENCARI IKAN

Waktu ini, musim tengkujuh sudah bermula. Banyak muara dan anak-anak sungai yang cetek dilimpah air hujan yang turun membawa bersama lumpur dan mengubah warna air sungai. Ada sesetengah nelayan kecil mengambil kesempatan ini untuk meraih tangkapan yang lebih. Saat air sungai atau muara berubah warna menjadi keruh, ikan ditepian mudah tertipu. Menjala, menjaring dan menangguk adalah antara cara yang popular dikalangan pencari ikan dan nelayan kecil. Di Kg aku dibesarkan, menjala adalah aktiviti yang paling
mudah dilakukan. Begitu juga dengan aktiviti menjaring. Meranduk tepian sungai untuk menebar jala adalah satu perkara biasa. Aku sebagai pencari ikan juga tidak terkecuali bila ada masa terluang. Adakalanya aku gemar menjala dari tebing terutama bila ada teman bersama. Adakalanya aku suka berdayung menjelajah ulu sungai mencari ikan dan udang. Sayangnya, bermula dari tahun 2009, aku mula menyaksikan berapa batang anak sungai yang sering ku selusuri dahulu kini telah tiada. Terputus dipertengahan lantaran landskapnya di ubah oleh tangan-tangan yang ingin melebarkan tanah jajahannya. Kami, pencari ikan dan nelayan kecil, hanya mampu bercerita sendiri. Mengeluh bersama melihat kerakusan itu. Tiada apa yang mampu dilakukan selain melihat dan bercerita sama sendiri tentang kemusnahan itu. Bagaimana nanti 10 tahun akan datang? Apakah nasib sang pencari ikan seperti aku? apakah nasib si nelayan kampung seperti mereka yang ku kenali? Semua hanya mampu menggelengkan kepala. Tidak tahu apa akan jadi nanti. Pernah juga seorang rakan nelayan bertanya pada aku, "boleh ka
kerjaya sebagai nelayan macam kami ni menyara sebuah keluarga?" Aku menjawab. "Mungkin di zaman kita masih boleh tapi agak sukar. Cuma di zaman anak-anak kita yang pastinya menjadi amat sukar. Cabaran semakin perit." Jawapan itu terlontar dari mulut ku kerana melihat perubahan yang dialami muara dan lautan tempat kami bermain. Semuanya semakin payah, semuanya semakin berkurang. Begitu juga dengan sara hidup yang semakin menginginkan kelebihan. Nasihat aku pada rakan tersebut, doronglah anak-anak kita kearah manusia yang berpelajaran. Jangan biarkan mereka mewarisi kehidupan seperti kita. Kerana zaman mereka bukan lagi seperti zaman kita. Dia mengakuinya. Aku pula seperti terpukul sendiri oleh kata nasihat ku kerana itu lah nasihat ayah suatu ketika dulu. Saat aku mula mengenali laut. Saat aku mula seronok dibuai ombak.

3 comments:

  1. betul tu... pelajaran amat penting untuk masa depan kita...

    ReplyDelete
  2. pelajaran dn ilmu penting utk melayari kehidupan dunia dn akhirat...

    ReplyDelete
  3. dulu pakcik pernah jadi pencari lokan..... tapi lanskap hutan paya bakau tu dah tiada..... dah bertukar jadi hutan batu bata...... sedih..... sekarang pakcik jadi pencari ciwi saja......

    ReplyDelete