Monday, December 20, 2010

PENCARI IKAN TURUN KELAUT.

 Bot ni dah lama siap. Gambar bot ni di ambil masa proses pembinaan bot. Selepas bot ni diturunkan dan sedia digunakan maka sang pencari ikan berharap agar pergerakan bertambah mudah. Sang pencari ikan tak hirau apa jenis cara pun tangkapan yang penting tak berbahaya dan boleh meraih hasil yang baik. Tak perlulah lumayan seperti nelayan. Bot tak besar sangat. Selesa untuk 4 orang pencari ikan bersaiz dewasa. Boleh memuatkan dua buah enjin sangkut 15hp kalau ada tapi aku selalunya guna sebuah ja. Aktiviti menjaring menjadi pilihan yang utama tapi itu pun bergantung dengan rakan. Kalau rakan yang turut serta gemar menahan jaring hanyut, maka aku juga suka menahan jaring hanyut tapi kalau sang teman teringin memancing, aku juga boleh sekadar memancing. Apa yang penting adalah mencari ikan.
Bercerita tentang pukat, aku paling suka dengan pukat hanyut. dan pukat tahan. Kerjanya agak mudah berbanding dengan jenis pukat yang lain. Pukat hanyut perlu dilepaskan berhanyut merentang arus laut ditempat yang sesuai. Sedikit pengalaman perlu ada untuk kerja sebegini. merentang pukat yang panjang dibantu oleh enjin sangkut bergerak perlahan bukanlah satu kerja yang boleh dianggap mudah. Waktu yang sering diburu oleh nelayan adalah sebelum maghrib dan sebelum subuh. Aku selalu perhatikan, nelayan akan bergerak kelaut sekitar pukul 4 atau 5 petang untuk merentang pukat hanyut dan pulang pada pukul 9 atau 10 bergantung dengan jarak jeti dan hala tuju nelayan. Selalunya nelayan hanya menunggu masa untuk tarik pukat yang direntang. Bagi aku, saat begini aku perlukan rakan berbual. sambil menunggu pukat terpasang. Selepas maghrib berlalu atau aku berpuas hati berapa lama mau pasang, pukat pun ditarik perlahan sambil mengutip ikan yang terperangkap di jaring. Andai banyak ikan terjerat, pukat yang panjang akan terasa pendek. Begitu sekejap rasanya sudah sampai di penghujung pukat. Namun andai ikan kurang, pukat akan terasa panjang dan aku terasa begitu penat menariknya. Begitulah kiranya aktiviti harian sang nelayan. Ada juga masanya bertembung dengan bahaya laut berombak, angin kencang dan petir yang bersambung-sambung. Bagi aku sang pencari ikan, semua tu hanya dibuat dikala ada masa terluang dan laut tidak bergelora.

Monday, November 29, 2010

CERITA PENCARI IKAN.

Setelah letih melayan aktiviti mencari ikan, menebar jala dan menahan jaring, aku dan rakan-rakan mesti mencari ruang masa dan tempat yang sesuai untuk merehatkan diri. Sambil menikmati keindahan alam yang sukar digambarkan pasti ada rakan yang rajin menyiang ikan dan menyalakan api. Begitu juga aku, gemar menyalai ikan yang segar. Apatah lagi kalau ikan yang berkualiti. Tentunya sedap dinikmati ketika masih panas lagi.  
 
Keredupan pepohon liar di muara yang ditemani pemandangan yang indah dan juga dihiasi hembusan angin nyaman dari laut begitu memikat jiwa ku sebagai pencari ikan. Aku amat bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang mengenali dan mengetahui ilmu seorang pencari ikan. Mungkin bagi sesetengah nelayan, ilmu aku teramatlah cetek jika dibanding dengan mereka tapi aku sudah berpuas hati. Cukup la pengalaman yang akan mendatang memberi aku ilmu pengetahuan tentang laut dan cari ikan.


 Begitu besar nikmat yang diberi oleh tuhan kepada makhluknya yang bernama manusia. Ikan segar dan besar dijadikan hidangan tengahari kami masa rehat tengahari. Sementara menunggu jaring yang terpasang. Dalam hati sudah berbunga-bunga kerana sudah ada buahtangan yang boleh dihulur pada sang isteri. Kami sebagai pencari ikan pastinya terasa gembira bila melihat sang isteri gembira dengan aktiviti kami. Aktiviti yang dijadikan hobi yang kadangkala beroleh hasil yang lumayan. Sungguhpun begitu, bukan lah hasil lumayan yang jadi tarikan kami sebagai pencari ikan tapi, kemesraan kami kepada alam semulajadi itu lah yang menarik kami untuk terus menjadi pencari ikan yang sentiasa mencari peluang dah ruang dimasa terluang. Alangkah nikmatnya ikan yang segar dan berkualiti dibakar begitu sahaja. Bertemankan sambal yang dibawa dari rumah.. Bersama rakan yang sama hobi dan sama pendapat. Diselangseli dengan senda gurau dan gelak ketawa. Alhamdulillah...


Wednesday, November 24, 2010

TEWASNYA SEORANG NELAYAN.

Peluh di dahinya kian rancak memercik. Kecut hatinya semakin dirasai. Mungkin kali ini, akan tercabar lah pengalamannya yang selama ini dimiliki melalui keperitan hidup seorang nelayan. Bersendirian di dalam bot kecil bersama dengan tangkapan yang agak lumayan bukanlah perkara yang ditakutinya. Malah dihadapannya yang terbentang lautan yang luas adalah seperti padang permainannya. Cuma kali berbeza kerana padang permainannya bakal dihiasi cabaran getir yang harus dia hadapi. RIBUT, bukanlah kali pertama dia bertegur sapa dengan situasi begini tapi entah kenapa kali ini hatinya seperti dilanda keresahan. Terbayang wajah anak isterinya yang sedang menanti kepulangannya. Sang nelayan memang tiada pilihan. Cabaran itu harus disahut. Hanya itu jalan pulangnya. Wajah anak-anaknya masih menggamit minda. Perlahan, sang nelayan menghidupkan enjin bot yang berkuasa 15hp dan bergerak perlahan menghala ke jalan pulang. Dalam hatinya terdetik, mungkin sekejap lagi angin ribut akan turun bertiup. Pecutan bot terus di kawal dengan baik. Selang beberapa minit berlalu, terkaan sang nelayan benar-benar terjadi. Angin bertiup dengan kencang. Laut yang agak beralun kecil berubah jadi ganas. Bot sang nelayan yang mulanya mudah di kawal semakin perlahan. Lantaran hempasan ombak yang kian ganas. Ternyata apa yang dirisaukan oleh sang nelayan benar-benar terjadi. Bot kecilnya semakin terhuyung hayang cuba mengelak dari terkaman ombak ganas. Percikan air semakin banyak menerpa masuk. Sang nelayan tidak menghiraukan air yang masuk ke dalam bot. bot mesti dikawal dengan baik agar tidak terperosok ke dalam perangkap ombak yang boleh membinasakan. Sambil dalam hati sang nelayan terus berdoa agar terlepas dari sebarang bencana. Tumpuan sepenuhnya pada larian ombak dipusatkan. Kening sang nelayan sedikit berkerut bila melihat 3 susun ombak yang agak rapat. Situasi begitu amat merisaukannya. Haluan bot terus di ubah untuk mengelak dari ombak 3 susun tersebut tapi bukan mudah untuk mengelak. Ombak pertama mengangkat haluan bot kecil dan menghempaskannya semula lalu di sambut oleh ombak kedua, sekali lagi bot kecil sang nelayan terlambung. Kali ini lebih tinggi. “Allah huakbar” kedengaran tempikan sang nelayan di susuli bunyi kayu patah. Lantas bot di hempas ke air lalu di sambut oleh ombak ketiga yang agak kecil namun itu lah yang amat di takuti oleh sang nelayan. Kedudukan botnya selepas terhempas kali kedua akan membuatkan ombak ketiga menyimbahkan air masuk ke dalam bot dan ternyata benar apa yang terlintas dihati sang nelayan. Tubuh sang nelayan habis basah kuyup. Ternyata dirinya sudah di tenggelami air bersama bot 16 kaki nya. Barang-barang yang timbul habis berhanyutan. Untuk seketika sang nelayan panik. Tubuhnya sedorong oleh ombak lantas dia terpisah agak jauh dari botnya. Sang nelayan cuba berenang mendapatkan sebarang benda terapung untuk sokongan namun ombak ganas terus memisahkannya dari bot dan barang-barang miliknya. Lantaran sang nelayan keletihan berenang, pergerakannya semakin perlahan. Air semakin banyak menujah mulutnya. Tenaga tuanya kian pudar dan pandangan makin gelap. Di saat2 sebelum hilang deria perasaannya, terbayang wajah anak-anak yang menanti kepulanngannya di muka tangga. Wajah isteri yang sibuk menyiapkan makanan kegemarannya. Dan.. semua hilang. Ditelan laut yang dihiasi keganasan. Akhirnya, sang nelayan tertewas di padang permainannya sendiri. Demi mencari sesuap nasi. Demi anak-anak dan isteri.

gambar sekadar hiasan..


Monday, November 22, 2010

KELUHAN PENCARI IKAN

Waktu ini, musim tengkujuh sudah bermula. Banyak muara dan anak-anak sungai yang cetek dilimpah air hujan yang turun membawa bersama lumpur dan mengubah warna air sungai. Ada sesetengah nelayan kecil mengambil kesempatan ini untuk meraih tangkapan yang lebih. Saat air sungai atau muara berubah warna menjadi keruh, ikan ditepian mudah tertipu. Menjala, menjaring dan menangguk adalah antara cara yang popular dikalangan pencari ikan dan nelayan kecil. Di Kg aku dibesarkan, menjala adalah aktiviti yang paling
mudah dilakukan. Begitu juga dengan aktiviti menjaring. Meranduk tepian sungai untuk menebar jala adalah satu perkara biasa. Aku sebagai pencari ikan juga tidak terkecuali bila ada masa terluang. Adakalanya aku gemar menjala dari tebing terutama bila ada teman bersama. Adakalanya aku suka berdayung menjelajah ulu sungai mencari ikan dan udang. Sayangnya, bermula dari tahun 2009, aku mula menyaksikan berapa batang anak sungai yang sering ku selusuri dahulu kini telah tiada. Terputus dipertengahan lantaran landskapnya di ubah oleh tangan-tangan yang ingin melebarkan tanah jajahannya. Kami, pencari ikan dan nelayan kecil, hanya mampu bercerita sendiri. Mengeluh bersama melihat kerakusan itu. Tiada apa yang mampu dilakukan selain melihat dan bercerita sama sendiri tentang kemusnahan itu. Bagaimana nanti 10 tahun akan datang? Apakah nasib sang pencari ikan seperti aku? apakah nasib si nelayan kampung seperti mereka yang ku kenali? Semua hanya mampu menggelengkan kepala. Tidak tahu apa akan jadi nanti. Pernah juga seorang rakan nelayan bertanya pada aku, "boleh ka
kerjaya sebagai nelayan macam kami ni menyara sebuah keluarga?" Aku menjawab. "Mungkin di zaman kita masih boleh tapi agak sukar. Cuma di zaman anak-anak kita yang pastinya menjadi amat sukar. Cabaran semakin perit." Jawapan itu terlontar dari mulut ku kerana melihat perubahan yang dialami muara dan lautan tempat kami bermain. Semuanya semakin payah, semuanya semakin berkurang. Begitu juga dengan sara hidup yang semakin menginginkan kelebihan. Nasihat aku pada rakan tersebut, doronglah anak-anak kita kearah manusia yang berpelajaran. Jangan biarkan mereka mewarisi kehidupan seperti kita. Kerana zaman mereka bukan lagi seperti zaman kita. Dia mengakuinya. Aku pula seperti terpukul sendiri oleh kata nasihat ku kerana itu lah nasihat ayah suatu ketika dulu. Saat aku mula mengenali laut. Saat aku mula seronok dibuai ombak.

Sunday, November 21, 2010

SANG PENCARI IKAN.

Hidup sebagai nelayan bukan lah satu pilihan bagi kebanyakan orang malah ramai nelayan yang terpaksa memilih jalan hidup sebagai nelayan kerana tiada pilihan. Cuma bagi aku, aku suka menjadi pencari ikan sebagai satu aktiviti sampingan. Bukanlah satu pencarian tetap. Hanya sekadar suka-suka. Aku suka melihat laut, matahari terbenam dan terbit. Alunan ombak yang mengasyikkan dan macam-macam khazanah alam yang dapat aku saksikan. Hasil yang ku miliki hanyalah sebagai bonus dan adakalanya bonus itu cukup banyak dan aku dapat kongsikan bersama jiran. Dalam menjalani kehidupan sebagai pencari ikan, banyak perkara yang aku saksikan. Derita sang nelayan, keluhan sang teman yang jadi nelayan malah menyaksikan muara yang dulunya gah dengan penghuni tapi sekarang mula mengalir sepi lantaran kerakusan manusia mengubah tanah sekitarnya.
Bila aku bercerita dengan rakan yang bukan nelayan, ada yang tertawa dan mengatakan bahawa nelayan sekarang sudah moden dan maju. Malah nelayan sekarang punya pendapatan yang lebih tinggi dari kakitangan kerajaan. Benarkah? Mungkin rakan tersebut hanya nampak nelayan yang berteknologi tinggi dan berpengetahuan. Bagaimana pula dengan nelayan yang hanya memiliki sebuah sampan, dayung, jala dan pancing 70 sen yang digulung di botol cola? Golongan ini lah yang tertekan dengan perubahan alam yang memusnahkan tempat mereka bermain. Aku juga mula merasakan payahnya mencari ikan. sehari suntuk menebar jala. Hanya sedikit hasil dituai. Amat berbeza dengan suasana dahulu. Cuma ada kalanya hasil memang lumayan dan mengujakan. Begitulah rezeki pemberian Tuhan dan aku tetap bersyukur sebab aku tidak hidup dengan pendapatan cari ikan. Cari ikan akan tetap ku teruskan mengikut keadaan sebab aku gembira melakukannya.