Sunday, November 21, 2010

SANG PENCARI IKAN.

Hidup sebagai nelayan bukan lah satu pilihan bagi kebanyakan orang malah ramai nelayan yang terpaksa memilih jalan hidup sebagai nelayan kerana tiada pilihan. Cuma bagi aku, aku suka menjadi pencari ikan sebagai satu aktiviti sampingan. Bukanlah satu pencarian tetap. Hanya sekadar suka-suka. Aku suka melihat laut, matahari terbenam dan terbit. Alunan ombak yang mengasyikkan dan macam-macam khazanah alam yang dapat aku saksikan. Hasil yang ku miliki hanyalah sebagai bonus dan adakalanya bonus itu cukup banyak dan aku dapat kongsikan bersama jiran. Dalam menjalani kehidupan sebagai pencari ikan, banyak perkara yang aku saksikan. Derita sang nelayan, keluhan sang teman yang jadi nelayan malah menyaksikan muara yang dulunya gah dengan penghuni tapi sekarang mula mengalir sepi lantaran kerakusan manusia mengubah tanah sekitarnya.
Bila aku bercerita dengan rakan yang bukan nelayan, ada yang tertawa dan mengatakan bahawa nelayan sekarang sudah moden dan maju. Malah nelayan sekarang punya pendapatan yang lebih tinggi dari kakitangan kerajaan. Benarkah? Mungkin rakan tersebut hanya nampak nelayan yang berteknologi tinggi dan berpengetahuan. Bagaimana pula dengan nelayan yang hanya memiliki sebuah sampan, dayung, jala dan pancing 70 sen yang digulung di botol cola? Golongan ini lah yang tertekan dengan perubahan alam yang memusnahkan tempat mereka bermain. Aku juga mula merasakan payahnya mencari ikan. sehari suntuk menebar jala. Hanya sedikit hasil dituai. Amat berbeza dengan suasana dahulu. Cuma ada kalanya hasil memang lumayan dan mengujakan. Begitulah rezeki pemberian Tuhan dan aku tetap bersyukur sebab aku tidak hidup dengan pendapatan cari ikan. Cari ikan akan tetap ku teruskan mengikut keadaan sebab aku gembira melakukannya.

2 comments:

  1. banyak belanak tu bro... merambat di mana tu ha?

    ReplyDelete
  2. di sungai kubur dekat kuala gum-gum.. ada masa tu belanaknya banyak..

    ReplyDelete